SITUASI TERKINI MENGENAI JANGKITAN MPOX
DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Jumaat, 11 Safar 1446H / 16 Ogos 2024M - Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan kepada orang ramai mengenai situasi jangkitan mpox. Pada 14 Ogos 2024M, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan situasi mpox sebagai Public Health Emergency of International Concern (PHEIC) pada kali kedua dalam tempoh dua tahun. Keputusan ini diambil susulan peningkatan kes mpox di beberapa negara di Afrika Timur.
Status PHEIC ialah tahap kewaspadaan tertinggi WHO, bertujuan untuk mempercepatkan penyelidikan, pembiayaan dan langkah serta kerjasama kesihatan awam antarabangsa untuk membendung sesuatu penyakit berjangkit. Kebangkitan semula penyakit berjangkit ini memerlukan perhatian segera dan usaha yang lebih berkoordinasi untuk mencegah penyebaran lanjut bagi melindungi kesihatan orang awam.
Merujuk kepada laporan situasi mpox yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bertarikh 12 Ogos 2024, bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 30 Jun 2024 terdapat sebanyak 99,176 kes mpox di seluruh dunia membabitkan 116 buah negara, dengan 208 (0.21%) kematian. Kementerian Kesihatan mengesahkan tiada kes membabitkan mpox di Brunei Darussalam setakat ini.
Mpox ialah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus mpox, iaitu spesis di bawah genus Orthopoxvirus. Jangkitan boleh berlaku melalui sentuhan rapat dengan ruam atau lepuh yang ada pada kulit individu yang terkena jangkitan. Kebanyakan kes didapati merebak melalui hubungan seksual dan dikalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki (MSM). Jangkitan juga boleh berlaku melalui pendedahan kepada cecair respiratori semasa hubungan intim. Tanda-tanda dan simptom mpox adalah termasuk demam berserta ruam 'maculopapular rash' atau ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan kornea.
Kementerian Kesihatan sedang memantau situasi ini dan memastikan persediaan untuk menangani mana-mana kes dan membendung sebarang kemungkinan penularan. Ini termasuk pengurusan kes yang disyaki dan pengesanan kontak yang mana perlu menjalani kuarantin mengikut Akta Penyakit Berjangkit (Bab 204). Kementerian Kesihatan juga telah memastikan langkah-langkah kesediaan untuk survelan dan proses notifikasi, kapasiti makmal untuk menjalankan ujian pengesanan bagi mpox dan rawatan dengan ubat antiviral (tecovirimat) bagi kes yang disahkan. Tecovirimat iaitu ubat antiviral yang digunakan untuk merawat mpox ada tersedia di negara ini untuk merawat kes yang disahkan. Kementerian Kesihatan adalah komited untuk mengambil semua langkah yang perlu bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat Negara Brunei Darussalam.
Orang ramai mempunyai peranan yang penting dengan mengamalkan langkah-langkah seperti :
- Mengetahui dan meningkatkan kesedaran tentang mpox (khususnya simptom dan cara ia merebak);
- Sentiasa mengikuti perkembangan maklumat terkini daripada sumber yang boleh dipercayai dan disahkan;
- Sentiasa mengamalkan kebersihan dan menjauhi daripada mana-mana risiko terhadap kesihatan diri sendiri dan sentiasa berjaga-jaga terutama apabila berkunjung keluar negara; dan
- Jika seorang individu mempunyai sebarang simptom yang mungkin menyerupai mpox, segaralah berkunjung ke fasiliti kesihatan yang berdekatan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi wabak di dalam negara serta di peringkat serantau dan global serta melaksanakan penilaian risiko secara berterusan. Kementerian Kesihatan akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai sebarang perubahan mengenai situasi ini, jika perlu dari masa ke semasa.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau melalui applikasi BruHealth.
- T A M A T -
Bertarikh: 26 Safar 1446H / 16 Ogos 2024M
Rujukan: KK/PR/3/1